Matlamat Pembangunan Lestari (MPL) atau Sustainable Development Goals (SDG) mengandungi 17 matlamat global yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015. Secara ringkasnya MPL dirangka sebagai plan tindakan untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia dalam keadaan yang sejahtera pada masa hadapan. Oleh itu matlamat dan sasaran ini dibangunkan bagi merangsang tindakan daripada semua pihak menjelang tahun 2030.
Matlamat pembinaan insan Rabbani di dalam Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dilihat boleh dianggap sebagai pemangkin kepada pembentukan insan yang berperanan untuk memacu aspek Pembangunan Lestari. Insan Rabbani yang menjadi matlamat FPI ialah seorang individu yang menjadikan ajaran Islam sebagai panduan menjalani kehidupan sebagai seorang warga yang berusaha untukmenjadikan dunia sebagai sebuah tempat yang sejahtera untuk didiami. Justeru, penyepaduan Pendidikan Islam dengan aspek-aspek Pembangunan Lestari seperti pendidikan alam sekitar amatlah penting. Ini bermakna aspek Pembangunan Lestari perlu diserapkan dalam Pendidikan Islam dengan menggunakan sistem pengintegrasian ilmu dan kemahiran yang jelas tanpa melakukan dikotomi ilmu secara tidak sedar.
Dalam dunia pendidikan, guru dianggap sebagai modal insan terpenting dalam proses mendidik, malah dianggap sebagai antara faktor utama yang akan menentukan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru bukan sahaja dianggap sebagai penyampai ilmu kepada murid, malah dianggap sebagai model contoh dalam tingkah laku untuk melakukan perubahan.
Sehubungan itu, kefahaman dan pengetahuan guru berhubung konsep pembangunan lestari secara umum belum dikuasai oleh guru. Tahap kefahaman yang mencukupi amat penting kerana hanya dengan kefahaman yang cukup akan mencetuskan kesedaran umtuk mengaplikasikannya dalam bentuk tingkah laku yang positif khususnya dalam amalan yang lebih lestari dalam kehidupan mereka sebagai seorang guru.
Melihat kepada kepentingan mempersiapkan guru-guru yang akan mendokong agenda Pembangunan Lestari, maka latihan yang terancang dan sistematik adalah satu keperluan. Memandangkan Pendidikan Pembangunan Lestari adalah “revolusi” dalam institusi, sistem, nilai-nilai dan gaya hidup , maka satu plan tindakan secara holistik adalah diperlukan. Justeru, komitmen sepenuhnya dari semua peringkat masyarakat adalah penting. Maka peranan ini seharusnya dimulakan oleh guru. Ini adalah kerana guru memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan inovasi kurikulum kerana mereka berperanan sebagai agen perubahan .Keiltizaman guru sebagai agen pelaksana, sikap dan tindak tanduk guru akan memberi kesan kepada pelajar.
Guru perlu memiliki pengetahuan tentang kandungan Matlamat Pembangunan Lestari yang tinggi serta kefahaman yang mendalam tentang Pembangunan Lestari secara umumnya. Justeru, Robert J. Didham & Paul Ofei-Manu telah memberikan contoh Malaysia sebagai sebuah negara yang mengambil inisiatif untuk menerapkan elemen Pendidikan untuk Pembangunan Lestari dalam latihan perguruannya.( Robert J. Didham & Paul Ofei-Manu, 2018).
Pada Januari 2019, OUM telah menyertai satu projek kajian penyelidikan yang ditaja oleh Yayasan Erasmus. Kajian yang masih berjalan dan akan tamat pada 2022 ini melibatkan 5 buah negara iaitu Cyprus, Yunani, Vietnam, Indonesia dan Malaysia. Tiga buah universiti dari Malaysia telah berkerjasama untuk menjayakan kajian ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Terbuka Malaysia. Kajian yang sedang berlangsung sehingga Januari 2022 ini bertajuk “ICT-enabled In-service Training of Teachers to Address Education for Sustainability” (ICTeEfS) yang bermaksud “Latihan Dalam Perkhidmatan Berasaskan ICT bagi Guru untuk Pendidikan Lestari” (ICTeEfS).
Menerusi kajian ini, sekumpulan pelajar yang mengambil kursus-kursus yang telah dikenalpasti akan didedahkan kepada penggunaan ICT untuk memangkinkan pendidikan Lestari. Selain itu, kajian juga tertumpu kepada guru-guru yang sedang berkhidmat dalam negara masing-masing. Dengan kata lain, projek ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu latihan kepada pelajar IPT (bakal guru) dan guru-guru yang telah berada dalam perkhidmatan perguruan.
Projek ICTeEfS akan mewujudkan mekanisme di setiap negara yang mengambil bahagian untuk mengkontekstualisasikan ICT dalam Pendidikan Lestari (EfS) demi mengisi jurang yang ada. Usaha ini diharapkan akan dapat membantu membangunkan masyarakat yang lebih lestari di peringkat nasional dan serantau.
Justeru, marilah sertai OUM untuk menjadi ejen Pembangunan Lestari!
Dr Hamidah Mat
Pengarah Program Master in Islamic Studies
CESS, OUM
Categories: Uncategorized